tasbih Pictures, Images and Photos

Monday, 13 August 2012

Hati Insani

..: bismillahirahmaanirrahim :..


Nabi Muhammad SAW bersabda :


"Sesungguhnya di dalam setiap jasad anak adam itu ada seketul daging. Jika baik daging itu, maka baiklah seluruhnya. Jika jahat daging itu, maka jahatlah seluruhnya. Ketahuilah daging itu adalah hati."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Itulah sabda Rasulullah berkenaan hati yang mana setiap insani wajib memilikinya. Betapa pentingnya organ ini. Tanpanya pasti manusia mati. Tanpanya juga pasti kita bukanlah seorang makhluk Ilahi yang digelar insani.

✿✿ Hatimu Ibarat Kertas Putih, Maka Janganlah Cemarinya dengan Dosamu ✿✿

Hati memainkan peranan yang begitu penting dalam bertindak menggerakkan, memberhentikan malah memperelokkan perbuatan tuannya hinggakan Rasulullah SAW bersabda bahawa kebaikan dan kejahatan seseorang itu bergantung kepada hatinya.

Hal ini demikian kerana hati adalah sebagai pusat yang menerbitkan tenaga perbuatan menurut arahannya itu. Sedangkan anggota-anggota lain hanya bertindak serta bekerja sebagai khadamnya. Maka, sudahkah kita bersyukur dengan nikmat ini ? 


✿✿ Hijrahkan Hatimu ✿✿
Betapa hebatnya organ hati ini kerana dengannya kita mampu hidup dan berkhidmat sebagai hamba Ilahi di bumi ini. Subhanallah, segala kekuasaan hanya kembali kepadaNya. 
Tahukah kita bagaimanakah hati yang dikatakan baik itu?

Hati yang baik adalah hati yang sentiasa ingat kepada Allah, mematuhi segala perintahNya serta meninggalkan segala laranganNya. Hati yang baik sudah tentu boleh menyebabkan seluruh badan kita menjadi baik kerana aura sikap mahmudah kita datangnya dari hati.

Bagaimana hati yang dikatakan jahat itu pula ? Hati yang jahat ialah hati yang rosak yang mana telah dikuasai sepenuhnya oleh hawa nafsu dan syahwat yang jahat hinggakan tidak diendahkan lagi segala yang haram itu. Apabila hati rosak, maka rosaklah seluruh badan yang mana boleh menyebabkan bencana bagi diri dan kehormatan seseorang.


✿✿ Jagalah Hatimu kerana Disitulah Jatuhnya Pandangan Ilahi ✿✿

Jagalah hati kita dengan sebaik-baiknya kerana dengan hatilah segala perbuatan kita bermula dan bertindak. Jagalah kesucian hati kita. Janganlah kita cemarinya dengan segala noda dan dosa. Ingatlah Allah selalu kerana hati yang sentiasa mengingatinya pasti tenang.

Perbetulkanlah setiap niat kita hanya keranaNya kerana setiap perbuatan itu bermulanya dengan niat. Jika baik niatnya, maka luruslah amalan serta perbuatannya malah imannya juga. Rasulullah bersabda :



✿✿ Sentiasalah Mengingati Allah ✿✿

Konklusinya, hati adalah raja bagi seluruh anggota badan kita. Jika rajanya baik, maka baiklah sekalian rakyatnya sebaliknya jika rajanya jahat, maka jahatlah juga rakyat-rakyatnya.

Justeru, jagalah hati kita dengan takut kepada Allah. Hal ini demikian kerana di hatilah adanya pusat keyakinan, keimanan serta ketaqwaan setiap hamba yang digelar insani ini kepada Allah, tuhan sekalian alam.

Akhirnya, diri ini selitkan kata seorang yang terkenal yang diberi nama Ibrahim bin Adham mengenai hati ini. Kata beliau :

Hati orang yang beriman adalah bersih seperti cermin kerana syaitan tidak dapat memperdayakannya dengan sesuatu, sebab ia lebih dahulu melihatnya. Tetapi  apabila ia sekali melakukan dosa, Allah campakkan ke dalam hatinya satu tompok yang hitam. Kalau ia bertaubat, hilanglah warna kehitaman itu. Andaikata ia kembali berbuat dosa dan tidak bertaubat, timbullah semula tompokan hitam itu hingga keseluruhan hatinya menjadi hitam. Waktu itu tidaklah berguna lagi nasihat
yang diberikan kepadanya.








Saturday, 11 August 2012

Redha Itu Ikhlas, Pasrah Itu Menyerah

..: bismillahirahmaanirrahim :..




Entri kali ni bertajuk Redha Itu Ikhlas, Pasrah Itu Menyerah. Pasti ada pembaca yang pernah dengar kan kata-kata ini ? Ya, terdengar dari filem Ombak Rindu. Di sini, diri ini bukanlah ingin mengiklankan filem tersebut malahan mempromosikannya sebab diri ini pun belum pernah menontonnya lagi. 

Pepatah ini sebenarnya membuatkan akal kita berfikir. Betul juga dengan apa yang dikatakan. Sesungguhnya terdapat maksud yang tersirat di sebalik kata-kata ini. Apakah yang ingin disampaikan melalui enam patah perkataan ini ? Cuba kita semua berfikir sejenak . 

Klip video di atas pula ialah video nasyid yang dinyanyikan oleh kumpulan nasyid In-Team yang bertajuk Segenggam Tabah. Cuba hayati nasyid tersebut. Betapa sayunya hati ini apabila mendengar nasyid ini. 

Nasyid ini banyak mempersoalkan tentang ketabahan dalam menongkah arus badai mehnah dan tribulasi dalam kehidupan. Persoalannya, apa kaitan Segenggam Tabah dengan tajuk entri kali ini. InsyaAllah, sangat ada kaitannya. 


✿✿ Redha itu Ikhlas, Pasrah itu Menyerah ✿✿

Apakah yang dimaksudkan dengan redha ? Redha ialah menerima dengan rasa tenang tanpa ada rasa kecewa atau tertekan dengan apa yang diberikan oleh Allah kepada  kita baik berupa hukum dan peraturan qadha' mahupun sesuatu ketentuan daripadaNya. Sebenarnya, sifat redha ini adalah daripada sifat makrifah serta mahabbah kita kepada Allah Taala untuk mendekatkan lagi diri kita kepadaNya. 

Tahukah kita ? Redha Allah kepada hambaNya adalah berupa tambahan kenikmatan, pahala malah ditinggikan lagi darjat kemuliaan kita. Sedangkan redha seorang hamba kepada Allah bererti kita menerima dengan sepenuh hati setiap ketetapan dari Allah yakni dengan melaksanakan segala perintahNya serta menjauhi semua laranganNya. 

Ketetapan ini mestilah diterima dengan cara bersyukur ketika mendapat kenikmatan dan bersabar ketika ditimpa musibah. Pada masa yang sama, kita perlulah berusaha untuk mengubah segala ketetapan yang kita rasa tidak baik untuk diri kita. FirmanNya : 

"Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri."

Apa pula yang dimaksudkan dengan pasrah ? Pasrah sebenarnya mempunyai sama maksud dengan redha cuma bezanya pasrah ialah kita menerima kenyataan dengan begitu sahaja tanpa ada usaha untuk mengubahnya. 

Oleh itu, inilah perbezaan antara maksud redha dan maksud pasrah yang mana masih ramai orang yang keliru dan belum mengetahuinya. Hal ini sebenarnya boleh mengakibatkan timbulnya persepsi yang salah mahupun pandangan yang serong terhadap makna ayat-ayat yang memerintahkan untuk kita bersikap redha terhadap segala yang Allah tetapkan. Dengan kata lain pasrah akan melahirkan sikap fatalisme sedangkan redha melahirkan sikap optimistisme. 

✿✿ Bersyukur dan Terimalah dengan Redha Setiap Kesusahanmu ✿✿

Ingatlah bahawa setiap kesusahan dan cabaran yang kita hadapi merupakan sumber kekuatan kita. Mengapakah begitu ? Hal ini demikian kerana setiap kesusahan itu menjadikan diri kita lebih tabah dan kuat untuk menghadapi masalah yang mendatang. Jadikan setiap kesusahan, keperitan serta halangan sebagai batu loncatan kepada kita untuk mengubah paradigma kehidupan kita. 

Andai jatuh, bangkitlah semula. Tabahkan diri dengan segala mehnah dan tribulasi. Janganlah terus mengalah dan menyerah diri. Jadikan segala takdir yang telah tersurat ini sebagai penguat diri. Ingatlah, Allah sentiasa bersama dengan orang-orang yang bersabar. 

Wahai diri, tabahkanlah hati. Bersyukurlah dengan segala mehnah ini. Sesungguhnya Allah Maha Menyayangi hambaNya yang tidak bersedih malah bersabar dengan tribulasi hidup.
InsyaAllah. 




Nota Kaki : 

Sila buka dan tengok video di Youtube jika tidak mahu sebarang gangguan bunyi.

Terima kasih atas kerjasama. ^^v





Wednesday, 8 August 2012

Contengan Jalanan

..: bismillahirrahmaanirrahim :..


✿✿ Contenglah Jalananmu dengan Lurus ✿✿

Sudah tentu pembaca tertanya-tanya, mengapakah tajuk entri kali ini berbunyi macam kepelikan sahaja. Betul tak ? Bunyi macam kisah yang dicoret penulis tersohor iaitu Hlovate. Contengan Jalanan.

Sebenarnya contengan jalanan di sini bermaksud contengan kehidupan seorang hamba Ilahi di muka bumi ini yang dikiaskan sebagai jalanan. Owh, begitu rupanya.

Ya, contengan jalanan kita semua yang mana merupakan hamba Ilahi. Bagaimanakah status contengan jalanan kita ? Adakah perjalanan kita selama menginap di bumiNya ini, kita conteng dengan lurus atau kita conteng dengan contengan bengkang-bengkok ?



✿✿ Janganlah Menjadi Orang yang Mati pada Jam Kesebelas ✿✿

Lihat serta perhatikanlah diri kita sendiri, sudahkah kita mencapai mardhatillah dalam segenap urusan dan pekerjaan yang kita lakukan ? Sekiranya ya, maka luruslah contengan jalanan kita. Pepatah Inggeris ada mengatakan :

"The man who decided to change on the 12th hour dies on the 11th."

Pernah dengar tak pepatah ini ? Ada yang pernah dengar dan ada yang langsung tidak pernah mendengarnya. Apapun sedarlah. Kita hanya menumpang di jalanan ini. Sanggupkah kita menodai serta mencemari jalanan yang kita tumpang hanya sekejap sahaja ini dengan pelbagai kotoran dan sampah sarap ? Sanggupkah kita ? Tepuk dada, tanya akal yang waras. 


Berubahlah kita sebelum kita dihitung serta dihisab Ilahi. Tidak malukah kita dengan yang Maha Melihat ? Sudahlah kita hanya menumpang, malah banyak pula melakukan dosa dan maksiat. Ingat percuma ke segala kemudahan di bumiNya ini ?


✿✿Setiap yang Berlaku ada Sebabnya ✿✿

Insaf dan bertaubatlah kepada Allah. Sesungguhnya, kita mampu mengubah diri kita sendiri jika kita mempunyai kesungguhan yang jitu dalam diri. Setiap yang berlaku itu pasti ada sebabnya. Maka, berubahlah jika kita sudah mempunyai kemahuan ke arah kebaikan.


"Kalau ada kemahuan dan usaha, 'halangan' itu adalah satu perkataan yang tidak ada makna apa-apa."

Begitulah terjemahan satu pepatah terkenal Cina. Maka, berusahalah untuk berubah dengan keyakinan kepada Allah bahawasanya kita mampu untuk berubah.

Yakinlah, Allah pasti membalas segala kebaikan yang kita lakukan walaupun sekecil dan sehalus zarah sahaja kebaikan kita itu. Walaupun kebaikan itu hanya dipandang remeh pada pandangan manusia. Allah telah berfirman dalam kitabnya yang agung :

"Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan walau seberat zarah pun, nescaya Allah akan melihatnya(kebaikan). Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan walau seberah zarah pun, nescaya Allah akan melihatnya(kejahatan)."
(Az-Zalzalah : ayat 7-8)

Oleh hal yang demikian, masih beranikah kita melakukan kejahatan kerana kejahatan yang terlalu kecil pun pada pandangan kita, tetap akan dinilai oleh Allah Taala ?


✿✿ Contengan Jalanan yang Lurus adalah Contengan yang diredhaiNya ✿✿

Deduksinya, contenglah jalanan kita dengan lurus, kebaikan serta kemuliaan untuk mendapat keredhaanNya. Jadilah hamba Ilahi yang mendambakan kasih Ilahi yang abadi dan bukanlah kasih insani yang sementera. Sedarlah, kita hanya hidup sebentar cuma di dunia ini. Kata pujangga Arab :

"Dunia ini ibarat ladang semaian dan tuaian, maka semai dan tuailah dengan biji benih yang baik, untuk mendapatkan hasil yang baik dan berkualiti di akhirat kelak."




Monday, 6 August 2012

Husnuz Zhon Billah

..: bismillahirrahmaanirrahim :..


Salam Ramadhan Mubarak. Alhamdulillah, sudah setengah bulan kita berpuasa. Hari ini dah masuk hari ke-17 pun kita semua berpuasa. Sudahkah kita dapat memuhasabah diri serta membersihkan rohani kita dari segala dosa lalu kita ? Tanya serta tepuklah dada masing-masing. Kita semua mempunyai akal yang waras dan sihat untuk berfikir.
✿✿ Teruslah Berbaik Sangka kepadaNya ✿✿

Pada kali ini, insyaAllah entri bertajuk Husnuz Zhon Billah akan dibincang serta dikupaskan. Apakah maksud husnuz zhon billah dalam bahasa Melayu ? Pasti semua pembaca sudah mengetahuinya. Jadi, tidak perlulah diri ini menterjemahkannya kembali. Diri ini cuma mahu memberi maksud husnuz zhon billah dalam bahasa Inggeris yang mana jarang kita dengar iaitu Trust in Allah.

Tahukah kamu, apakah dalil kukuh mengatakan kita perlulah bersangka baik dengan Allah ?
Rasulullah telah bersabda mengenainya yakni :

Dari Jabir bin Abdillah ra bahwa ia mendengar Nabi SAW berkata tiga hari sebelum wafatnya : "Jangan seorang di antara kalian mati kecuali dia berbaik sangka kepada Allah.”
(HR Muslim)

Allah Taala juga telah berfirman dalam kitabNya yang suci :

"Dan boleh jadi kamu benci pada sesuatu padahal ia baik bagi kamu."
(Al-Baqarah: ayat 216 )

Maka, berbaik sangkalah kita semua kepada Allah, Tuhan sekalian alam. Janganlah sedikit pun kita merungut dan mengeluh apabila diuji dengan pelbagai dugaan, mehnah serta tribulasi. Hal ini demikian kerana Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNya.

✿✿ Berfikirlah dengan Positif tentang TuhanMU ✿✿

Pada masa yang sama, berfikirlah positif dan optimis tentang si Dia yang Maha Memberi Segala Nikmat serta Kasih Sayang kepada kita. Ingatlah, minda yang berfikiran negatif tentangNya tidak akan ke mana jua malah merugikan diri serta melemahkan semangat kita.

Maka, teruslah berfikir secara positif kerana fakta menyatakan bahawa orang selalu berfikiran positif akan hidup lebih bahagia malah dapat mendatangkan hal yang positif. Hal ini kerana berfikiran positif membuatkan energi kebaikan kita datang mengiringi perbuatan kita. Manakala orang yang berfikiran negatif merugikan dirinya sendiri kerana keyakinan dalam dirinya akan hilang serta dia juga tidak akan dapat mempengaruhi orang lain.


✿✿ Buanglah Segala Charge yang Negatif dalam Diri Kamu ✿✿

Berbahagialah kamu apabila kamu disayangi dan dirahmatiNya. InsyaAllah kita semua tergolong dalam kalangan orang yang sentiasa berbaik sangka kepada Allah agar kita mudah untuk menuju ke syurgawiNya kelak. Permudahkanlah segala urusan kami ya Rabb. Ameen.

✿✿ Sentiasalah Berdoa kepadaNya✿✿




Saturday, 4 August 2012

Sahabat Sejati

..: bismillahirrahmaanirrahim :..



Entri kali ini dimulai dengan nasyid khas dari kumpulan nasyid yang mana sudah sinonim dengan masyarakat kita iaitu kumpulan nasyid UNIC. Nasyid ini sangatlah bertepatan dengan tajuk entri kali ini kerana tajuk nasyid ini benar-benar sama dengan tajuk entri iaitu Sahabat Sejati.

Sahabat sejati. Siapakah sahabat sejati ini ? Merekalah sahabat yang dapat membawa malah membimbing kita ke jalan yang diredhai Ilahi. Senangkah untuk kita menemui sahabat sebegini ? Jawapannya, tidak. Betapa sukarnya menjumpai sahabat sejati ini kerana sahabat sejati boleh diibaratkan seperti sebutir mutiara yang bersinar malah mahal harganya yang sangat sukar ditemui di lautan.

Jika ditanya, inginkah kita sahabat sejati yang mana dapat menemani kita setiap masa ? Sudah tentu semua mengangguk dan mendambakannya.

Entri kali ini ditujukan khas kepada sahabat sejatiku yang mana tarikh lahirnya jatuh pada
3 Ogos. Semoga dirinya sentiasa dirahmati, disayangi serta diberkati Allah. Allah yubaarik alaik. Ameen. 

Berbalik kepada tajuk utama, sahabat sejati merupakan sahabat yang sangat memahami, mempercayai malah menyayangi diri kita sebagaimana dia menyayangi dirinya sendiri. Sukarkan ingin mendapatkannya ? Usahalah, carilah dan ikhtiarlah dalam mencari sahabat sejati. Sahabat sejati inilah sahabat yang sebenar-benarnya dapat memimpin serta menuntun kita ke jannahNya. 


✿✿ Doaku Buatmu Sahabatku ✿✿

Dialah yang akan selalu menegur kita dari semua kesilapan. Dialah juga akan menyuruh serta mengajak kita berbuat kebaikan dan perkara yang diredhai Ilahi. Dia tidak akan sesekali menyesatkan kita dengan perbuatan dosa dan maksiat malah akan menuntun kita ke jannahNya.

Sahabat sejati ini jugalah yang sentiasa akan berbakti serta memberi tanpa meminta balasan kembali. Dia sedar bahawa redha Allah yang utama dan sahabat yang pertama. Terima kasih ya 'Azza Wajalla kerana kurniakan kepadaku sahabat sejati.

Ya Allah, betapa aku merindui sahabat sejati yang telah Kau anugerahkan kepadaku. Lindungilah, sayangilah serta bahagiakanlah dia. Redhailah persahabatan kami. Tunjukilah kami jalan yang sebenar-benarnya agar kami dapat mendiami taman indahMu pada suatu hari nanti. Ameen ya Rabbal Aalamin.






Nota Kaki : 

Sila buka dan tengok video di Youtube jika tidak mahu sebarang gangguan bunyi.

Terima kasih atas kerjasama. ^^v










Wednesday, 1 August 2012

Hablu Minallah Hablu Minannas

..: bismillahirrahmaanirrahim :..


✿✿ Salam Ramadhan Kareem ✿✿ 

Sudah 13 hari kita berpuasa pada bulan Ramadhan tahun ini. Entah sempat atau tidak kita cukupkan 30 hari puasa kita tahun ini. Mudah-mudahan Allah permudahkan ibadat wajib kita ini. Hanya tinggal 17 hari lagi untuk menyempurnakannya. Sempatkah aku ?
Mesti kita tertanya-tanya dan tidak yakin, kan ? 

Apa khabar hubungan kita denganNya ? Adakah sudah berkarat dek dosa-dosa kita ?
Ya Allah, sesungguhnya aku masih lalai dalam menjaga hubungan denganMu. Aku sentiasa cuba menjaga dan memperbaiki habluminallahku. Aku tidaklah sehebat baginda Rasulullah yang bersolat sehari semalam sehingga bengkak tumit kakinya. Aku juga tidaklah sehebat para sahabiah baginda yang tiap-tiap malamnya diisi dengan bertahajjud kepadaMu. Aku hanya hamba Ilahi yang bersifat insani dan terlalu lemah berbanding mereka. Maka, tunjukilah aku jalan bagaimana hablu minallah aku terjaga dan sentiasa terpelihara. Bimbinglah aku ya Rabb. 

✿✿ Dosa-dosaku Bagaikan Pepasir ✿✿



✿✿ Sabda Rasulullah ✿✿

Betapa banyaknya dosaku sejak aku mendiami bumi dan menjadi hamba Ilahi ini. Dosaku ibarat pepasir di pantai dan buih di lautan. Ya Ghafur, berkati dan barakahilah aku di bulan yang mulia ini dengan mengampunkan segala dosa-dosa laluku. Jagalah aku dari perbuatan-perbuatan yang tidak diredhaiMu. Tambahkanlah sentiasa pahala kepadaku di atas setiap kebaikan yang aku lakukan dan jadikanlah puasa aku ini ialah satu ibadah yang diterimaMu, bukanlah ibadah yang sia-sia. Ameen. 

✿✿ Hablu Minallahku Ibarat Tali Yang Mana Ikatannya Sudah Longgar ✿✿ 

Harapan diri ini, semoga Ramadhan kali ini menjadi madrasah tarbiah buatku serta mengubah diri ini ke arah yang semakin positif dan cemerlang. Aku akan berusaha menjaga hablu minallahku sebaik mungkin dan meninggalkan perkara yang dibenciNya. 

Pasti pembaca tertanya-tanya, mengapakah entri kali ini bertajuk Hablu Minallah Hablu Minannas di'highlight'kan ? Betul tak ? 

Sebenarnya kedua-dua perkara ini adalah perkara yang utama perlu kita titik beratkan. Hal ini demikian kerana hablu minallah dan hablu minannas saling berkait rapat. Buktinya, untuk menjaga hablu minannas, kita mestilah terlebih dahulu memelihara hablu minallah kita. 

Ironinya, dua perkara ini sangat penting dalam hidup kita dan tidak dapat dipisahkan. 
Jagalah hablu minallahmu dahulu, pasti hablu minannas akan menyusul kemudian.
Hal ini kerana keredhaan Allah terletak pada keredhaan manusia. Maka berbuat baiklah kamu sesama manusia dengan kebaikan yang melimpah ruah. 

Ketahuilah. Sesungguhnya Allah menyembunyikan keredhaan dan rahmatNya dalam satu perkara kebaikan. Oleh yang demikian, janganlah kita meremehkan sesuatu kebaikan kerana mungkin di dalam kebaikan yang kita remehkan itu terdapatnya keredhaan Allah. 

Buktinya, Seorang wanita pelacur dari kalangan bani Israel dimasukkan ke dalam syurga kerana memberi minum kepada seekor anjing jalanan yang kehausan. Mesti para pembaca sudah pernah mendengar kisah ini. Ini ialah kisah benar dan bukanlah rekaan. Jadi, mulai detik ini, berbuatlah kebaikan tanpa mengharapkan balasan kerana itulah yang lebih baik dan mulia. 

Mulai sekarang, janganlah kita merungut apabila disuruh mambuat kebaikan kerana di mana ada kebaikan, di situlah adanya keredhaan Ilahi. Jaga dan peliharalah hablu minannas kita seeloknya. Janganlah kita menyakat dan menyakiti sesama kita. Sayangilah saudara seagama kita kerana Rasulullah telah bersabda : 

"Seorang muslim adalah saudara muslim lainnya, ia tidak menzaliminya, merendahkannya, menyerahkan (kepada musuh) dan tidak menghinakannya."
(Hadis riwayat Muslim)

Mudah-mudahan kita semua menjadi hamba Ilahi yang soleh, mukmin dan muttaqin yang sentiasa menjaga hubungan dengan Pencipta serta memelihara hubungan sesama manusia. InsyaAllah. 



Tuesday, 31 July 2012

Tentang Cinta

..: bismillahirrahmaanirrahim :..



✿✿ Tentang Cinta Kau dan Aku ✿✿

Berbicara tentang cinta, cinta dengan manusiakah atau cinta dengan Si Pencipta ? Mesti terdetik di hati pembaca semua kan, adakah kali ini penulis ingin berbicara tentang cinta yang lazimnya sudah pernah didengar dan dibaca ? Ya, benar. Entri kali ini mengenai cinta tapi bukanlah cinta biasa yang kita sudah lali mendengar dan membacanya. Ini adalah tentang cinta insani dengan Penciptanya. Tentang bagaimana pentingnya rasa cinta dalam diri manusia untuk menjadi insan yang benar-benar mukmin dan muttaqin. 

✿✿ Definisi Cinta ✿✿


Cinta. Apakah itu cinta ? Cinta tidak dapat didefinisikan dengan betul lagi tepat kerana cinta merupakan rasa dan perasaan yang tersimpan kemas dan jauh di lubuk hati kita. Kita sendiri gagal untuk mendefinasikannya kerana apabila rasa dan perasaan cinta itu timbul, barulah kita akan menyedari serta menghargainya. 

Sudahkah kita muhasabah cinta kita ? Muhasabah cinta kita dengan Dia yang Maha Segala-galanya ? 

Subhaanallah. Sesungguhnya sayang dan cinta Si Dia kepada hambanya berkali ganda lebih hebat daripada cinta kita kepadaNya. Manakan tidak kita dapat mengecap semua nikmat di muka bumi ini. 

Allahuakbar. Tidak malukah kita denganNya yang begitu mengasihi kita namun kita masih tetap mengingkari perintah wajib dan masih bermalas-malasan mengerjakan perintah sunatNya. Muhasabahlah cinta kita dengan Yang Maha Menyayangi bukan sibuk dengan cinta manusia yang fana semata-mata dan mempunyai rasa sayang yang sekejap cuma. 

Alhamdulillah. Bersyukurlah kita dengan rasa dan perasaan fitrah ini kerana tanpanya kita tidak mungkin akan merasai bahagia dan nikmat hidup itu. Maka, jadilah kita ibarat sepohon pokok yang rimbun malah cantik daunnya tetapi malangnya tidak berbuah lebat. Begitulah kita sekiranya tidak mempunyai rasa dan perasaan cinta. Kita merasakan kita sudah mengecap bahagia tetapi sebenarnya bahagia belum lagi bersama dan menaungi hidup kita. 

Jadi, ucaplah kata kebesaran, takbir serta syukur padaNya.
Subhaanallah. Allahuakbar. Alhamdulillah. 

✿✿ Satu Rasa Dua Hati ✿✿


Rasa cinta tidak tumbuh mekar jika tidak dicintai kembali. Bagaimana kita boleh tahu sudahkah diri kita ini disayangi dan dicintai Sang Pencipta ? Mudah sahaja jawapannya. Hati yang sentiasa mengingati Azza Wajalla akan berasa tenangdan tenteram kerana Allah berfirman dalam kitabNya yang mulia : 

"Hai orang-orang yang beriman, berzikirlah dengan menyebut nama Allah, zikir yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kepadaNya di waktu pagi dan petang."
(Al-Ahzab 41-42) 


"Iaitu orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenteram."

(Surah ar-Ra'd, ayat 28) 

Ironinya, semakin banyak kita mengingati Allah, fikiran kita akan terbuka, hati menjadi tenteram, jiwa bahagia malah nurani dan rohani menjadi damai dan sentosa. Begitu hebatkan Allah menjadikan kita sedemikian rupa apabila kita mengingati, menyayangi dan mencintaiNya ? 

Hal ini demikian kerana mengingati Allah terkandung nilai-nilai ketawakkalan yang tinggi kepadaNya, keyakinan penuh, sifat kebergantungan hanya padaNya, pengharapan, kepasrahan serta sifat berbaik sangka yang jitu hanya pada Allah yang Maha Esa. 

Dia akan sentiasa dekat dengan hambaNya yang sentiasa berdoa, meminta dan merintih hanya padaNya. Maka, rendahkan dan tunduklah diri di hadapanNya tanpa rasa segan silu sekiranya kita benar-benar ingin mencari mardhatillah dan ketenangan diri. Sebut dan serulah namaNya yang indah dan penuh barakah secara berulang-ulang dengan lidah kita sebagai doa, permohonan, pujian, ketauhidan serta permintaan taubat kita kepadaNya. 

InsyaAllah. Dengan demikian, nescaya kita disayangi dan dicintaiNya kembali. Itulah yang sangat kita harapkan di dalam hidup kita. Ya Allah, pandanglah aku dengan kasih sayangMu yang melimpah. Apabila aku dicintaiMu, maka jadikanlah aku dari kalangan orang yang beriman dan bertaqwa kerana itulah pengharapanku agar aku layak ke jannahMu.
Ameen Ya Rabbal Aalamin. 


Tuesday, 17 July 2012

Nikmat KaruniaNya

..: bismillahirrahmaanirrahim :..


✿✿Bersyukurlah dengan Segala NikmatNya ✿✿


Salam mujahadah dalam menjaga iman dan islam di dada buat pembaca blog yang kerdil ini. Diharapkan iman kita sentiasa digilap dengan amal soleh agar islam kita sentiasa berkilat. 

Sentiasalah kita beramal soleh selagi kita masih dapat bernafas menggunakan oksigen percuma tanpa perlu dibayar ini. Sudah bersyukurkah kita dengan segala nikmat karunia Ilahi ini ? Tepuk dada,tanya iman dan taqwa kita. 

Berbicara tentang taqwa. Adakah taqwa juga merupakan salah satu nikmat ? Ya, taqwa merupakan nikmat serta hidayah Allah kepada hambaNya yang terpilih di bumiNya ini. Apakah maksud taqwa ? Taqwa ialah menjaga dan memelihara diri dari siksa dan murka Allah dengan jalan melaksanakan perintah-perintahNya, taat kepadaNya dan menjauhi larangan-laranganNya serta menjauhi perbuatan maksiat. 

Baru ku sedar, banyak rupanya tanggungjawab kita untuk menjadi orang yang bertaqwa. Bukan sekadar mengetahui tentang dosa dan pahala sahaja. Bukan juga sekadar berbuat yang makruf dan menjauhi yang mungkar malahan kita perlulah memelihara diri dari jatuh ke kancah penghinaan pada pandangan Ilahi serta taat dan patuh kepadaNya dengan taat yang sebenar-benarnya. Itulah baru taqwa yang sebenar-benarnya. 

✿✿ Qanaahlah Kamu ✿✿


Sedarlah kita semua, bukan senang untuk menggapai syurgawi yang nun indah dan bahagia di sana. Banyak yang mesti dilakukan agar diri dipandang mulia olehNya. Banyak lagi sebenarnya. Sedarlah. 

Sudah bersyukurkah kita dengan segala nikmat karuniaNya ini ? Jikalau belum, maka muhasabahlah diri dengan segera. Begitu banyak sudah nikmat yang kita kecapi selama jantung berdenyut di bumi yang fana ini. Selama kita dapat menghirup udara segar nan percuma ini. Sentiasalah kamu bersifat dengan sifat qanaah.

Hitunglah diri sendiri. Hisablah diri sendiri sebelum diri dihisab Ilahi. Berapa kalikah kita mengucapkan kata syukur Alhamdulillah dalam waktu sehari ? Dalam masa 86400 saat yakni sehari semalam ? Teruknya diri. Alpanya kita kepada Pencipta. Hanya boleh dihitung jari sahaja kata syukur yang kita ucapkan. Ya Allah. Berdosanya aku kerana terlalu alpa kepadaMu. 

Berubahlah. Carilah penyelesaian diri agar diri tidak menyesal di kala nafas kehabisan. Di saat malaikat Izrail datang memanggil dan mencabut nyawa dari sekujur jasad. Carilah sebelum terlambat. Sebelum diri dihisab dan dipanggil datang mengadap Ilahi di Padang Mahsyar nanti. Mudah-mudahan, kita semua bakal menerima segulung ijazah amalan dengan tangan kanan di akhirat kelak yakni tergolong dalam golongan Ashaabul Yameen dan bukanlah golongan Ashaabusy Syimaal. InsyaALLAH. 

Kisah Hatiku

..: bismillahirrahmaanirrahim :..




Asalnya, Kisah Hatiku merupakan nama header yang menjadi pilihan diri kerana tulisannya yang ringkas dan unik. Oleh sebab, sudah ada nama bagi header yang lebih menarik yakni Perjalanan Hati Menuju Kasih Ilahi, maka header inilah tertera di atas sana. Begitu unikkan perancangan Allah. 
Benarlah seperti yang dinyatakanNya di dalam al-Quran dengan firmanNya : 

"Mereka merancang, Allah juga merancang, Sesungguhnya Allah sebaik-baik perancang.

Ya, memang benar.. Oleh sebab Allah merupakan sebaik-baik perancang, maka terdetiklah hatiku untuk menulis blog buat pertama kalinya. Dengan header blog Perjalanan Hati Menuju Kasih Ilahi ini. Memang sangat bertepatan dengan isi blog ini nanti yang berkisarkan tentang hati dan perjalanan hatiku. 



Ingin ku nyatakan bahawa tujuanku menulis blog bukanlah semata-mata ingin mendapatkan title dalam dunia penulisan blog ini mahupun ingin mengejar populariti. Aku hanya ingin meluahkan rasa, menyuakan pendapat serta berkongsi pengalaman dalam segala hal. Aku juga ingin mengasah gaya penulisanku ke arah yang lebih baik serta kreatifkan diri ini. 

Aku tidak mahu menjadi orang yang bakhil di dunia yang mana kedekut untuk berkongsi ilmu dan menyuarakan buah fikirannya. Aku ingin menjadi insan terpilih Ilahi yang meraih syurgawi kelak. Biarlah segala coretan serta tulisan disini dapat menjadi salah satu daripala amal solehku yang bakal menjadi hartaku di akhirat kelak. InsyaALLAH.