tasbih Pictures, Images and Photos

Wednesday 22 August 2012

Duhai Sahabat

..: bismillahirrahmaanirrahim :..





Biarkan kerinduan di lautan memori
Mengimbau kenangan indah yang menyentuh emosi
Masih segar di ingatan saat mesra berputik
Hatimu bawa sinaran cahaya inspirasi

Sahabat...
Kau sesungguhnya
Temanku...
Dikala suka dan lara

Tika ku buntu
Diselubungi sendu
Kau tiupkan ketabahan untuk
Mengukir senyuman

Bagaikan embun
Hilang diterbit fajar
Kau pergi jauh mengejar cita
Menggapai redha Yang Esa

Duhai sahabat dengarkanlah
Bicara hatiku ini
Meskipun jarak memisahkan
Namun tiada noktah kasih

Biarlah waktu menetukan
Nilai ukhwah yang terjalin
Teruskanlah perjuangan hingga
Ke titisan darah terakhir

Dan aku masih di sini
Terus mendaki
Puncak tertinggi hidupku

Dan aku terus menanti
Saat yang manis
Akan berulang kembali

Sahabat...






Nota Kaki : 

Sila buka dan tengok video di Youtube jika tidak mahu sebarang gangguan bunyi.

Terima kasih atas kerjasama. ^^v








Monday 20 August 2012

Ikhtilat Dalam Islam

..: bismillahirrahmaanirrahim :..


✿✿ Sifarkan Ikhtilat Bebas ✿✿

Diri ini mulakan entri ini dengan selawat ke atas nabi junjungan kita, Muhammad SAW. Alhamdulillah dah banyak perkongsian yang diri ini kongsikan dengan pembaca semua. InsyaAllah, pada kali ini, entri mengenai ikhtilat dalam Islam akan dikupas serta dibincangkan.

Apakah yang dimaksudkan dengan ikhtilat ? Ikhtilat dari segi bahasa bererti meramukan, menggaul sesuatu dengan sesuatu yang lain yakni mencampurkannya. Dari segi istilah syarak pula ikhtilat bermaksud percampuran wanita dengan lelaki iaitu perkumpulan mereka pada satu tempat, sama ada dalam bentuk kumpulan atau berdua-duaan.

Persoalannya, mengapakah ikhtilat antara lelaki dan perempuan begitu dititikberatkan dalam Islam ? Macam inilah. Kalau pergaulan sesama lelaki dan sesama perempuan tidak perlulah dirisaukan kerana perkara tersebut dijamin tidak akan berlaku perkara maksiat padanya serta telah pun dibenarkan dan dihalalkan oleh syarak. Oleh hal yang demikian, persoalan ikhtilat antara lelaki dan perempuan akan dibincang serta dikupaskan.

Ikhtilat dalam Islam begitu penting bagi menjaga batas-batas antara lelaki dan perempuan. Semua umat Islam wajib menjaganya. Ikhtilat tidak tertumpu kepada mereka yang remaja sahaja malah kepada semua golongan yang telah pun baligh sama ada yang dewasa atau pun yang sudah berusia. Jelas setakat ini ?


✿✿ Jagalah Ikhtilatmu ✿✿

Maksud daripada sabda Rasulullah :

"Tidak boleh seseorang wanita itu bermusafir melainkan dia ditemani oleh mahramnya. Dan tidak boleh seseorang lelaki berdua-duaan bersama perempuan kecuali perempuan tadi ditemani oleh mahramnya."

Dalil di atas membuktikan bahawa kita wajib menjaga diri kita yakni menjaga ikhtilat. Allah melarang serta mengharamkan wanita bermusafir seorang diri tanpa ditemani mahramnya. Allah juga melarang lelaki dan perempuan duduk berdua-duaan.

Lihat, betapa urusan ikhtilat ini dititikberatkan oleh Allah dan Rasulullah. Siapalah kita untuk meremehkan perkara ini sebenarnya ? Tepuk dada, tanya iman dan diri.


✿✿ Hindarilah Ikhtilat Bebas ✿✿

Bila sebut hal ikhtilat ni, mungkin ramai daripada kalangan masyarakat kita yang memandang remeh serta memandangnya sebelah mata sahaja. Zaman moden sekarang ini, masyarakat sudah tidak lagi memandang soal-soal sebegini. Maklumlah, diliberalkan Islam pada masa sekarang. Jika ada suara yang menyekat apa jua bentuk ikhtilat yang dilarang Islam, dikatakan jumud dan konservatif. Alahai, betapa jumudnya pemikiran masyarakat sekarang.

Apakah hukum ikhtilat sebenarnya ? Pasti semua pembaca tertunggu-tunggu mengenai hal ini. Hukum asal ikhtilat yakni pergaulan antara leiaki dan perempuan ialah haram. Oleh hal yang demikian, ia adalah suatu perkara yang wajib dihindarkan kecuali dalam keadaan terpaksa atau keperluan yang mendesak. Syeikh Abd. Karim Zaidan dalam kitabnya
al-Mufassat fil Mar'ah yang masyhur menyebutkan contoh-contoh keadaan serta hukum ikhtilat seperti di bawah :
  • Pertama - Harus kerana terpaksa (dhorurah)
  • Kedua - Harus kerana keperluan (hajat)
Bagi keadaan yang pertama berlaku kerana tekpaksa seperti yang disebutkan oleh Imam Nawawi dengan katanya : Berkata ahli mazhab Syaf'ie : Tidak ada perbezaan dalam pengharaman khulwat (berdua-duaan) sama ada dalam solat atau selainnya. Dikecualikan daripada hukum ini kedaaan-keadaan dhorurah seperti jika seseorang lelaki ajnabi mendapati seorang wanita ajnabi bersendirian di jalan, jauh daripada kumpulan manusia tersebut jika dibimbangi keselamatannya, maka pada ketika itu wajib tanpa khilaf dia berdua-duaan dengan wanita tersebut dengan tujuan untuk menemaninya.

Bagi keadaan yang kedua pula, ulama berkata bahawa hajat mengambil peranan dhorurah dalam mengharuskan perkara yang haram. Di sana dicatatkan beberapa keperluan yang dianggap mengharuskan ikhtilat antara lelaki dan perempuan. Antaranya ialah :


  • Ikhtilat kerana urusan jual beli yang dibenarkan oleh syarak. Harus bagi wanita bercampur dengan lelaki semasa berjual-beli, melakukan tawar-menawar, memilih barang dengan syarat tidak berlaku khulwat (berdua-duaan) dan memelihara adab-adab pergaulan.
  • Ikhtilat kerana melakukan kerja kehakiman. Wanita harus menjadi hakim dalam perkara selain hudud di sisi Hanafiah dan dalam semua perkara di sisi az-Dzohiriah dan Imam at-Tobari. Sudah termaklum kerja seperti ini mengundang percampuran dengan kaum lelaki yang terdiri daripada pendakwa, tertuduh, saksi dan lain-lain.
  • Ikhtilat kerana menjadi saksi kerana Islam mengharuskan wanita menjadi saksi dalam kes berkaitan dengan harta dan hak-haknya. Hal ini demikian kerana menjadi saksi akan mendedahkan diri kepada percampuran dengan lelaki ajnabi.
  • Ikhtilat kerana amar makruf nahi munkar. Ibnu Hazmin telah menyebutkan dalam kitabnya al-Muhalla' bahawa Umar al-Khattab RA telah melantik as-Syifa' menjadi penguatkuasa perbandaran. Sudah tentu beliau akan bercampur dengan lelaki ketika menjalankan tugasnya.
  • Ikhtilat kerana melayan tetamu. Harus bagi wanita melayan tetamu bersama suaminya dan jika ada alasan yang syar'ei seperti tujuan memuliakan tetamu dan sebagainya walaupun terpaksa bercampur dengan tetamu. Dalam hadis Bukhari, ada diriwayatkan bahawa Ummu Usaid melayani Rasulullah SAW dengan menghidangkan makanan dan menuangkan minuman untuk baginda SAW.
  • Ikhtilat kerana memuliakan tetamu jika perlu makan bersamanya. Harus bagi wanita makan bersama tetamu kerana tujuan memuliakan tetamu atau tujuan lain yang syar'ei. Muslim meriwayatkan kisah satu keluarga yang ingin memuliakan Rasulullah SAW dan bertamukan baginda. Oleh kerana makanan yang sedikit, mereka memadamkan api dan memperlihatkan bahawa mereka makan bersama-sama banginda. Ini bererti bahawa orang Ansor dan isterinya itu duduk bersama tetamu untuk makan bersama walaupun mereka tidak makan kerana mereka mengutamakan tetamu.
  • Ikhtilat dalam kenderaan awam. Harus bagi wanita keluar rumah kerana menunaikan kerja-kerjanya yang diharuskan  walaupun terpaksa bercampur dengan lelaki ajnabi  seperti keluar untuk menziarahi dua ibu-bapanya, membeli-belah dan ke hospital meskipun ia terpaksa menaiki kenderaan awam yang menyebabkan berlaku percampuran dengan penumpang lain dari kalangan lelaki ajnabi. Dia mungkin duduk atau berdiri ditepinya. Percampuran ini diharuskan oleh keperluan yang syar'ei.
  • Ikhtilat kerana kerja-kerja jihad. Antara contoh pergaulan sewaktu jihad ialah seperti membawa air, merawat pesakit dan seumpamanya. Semua perkara tersebut adalah harus dilakukan oleh wanita kerana maslahah syariah. Bukhari menyebut dalam sahihnya daripada Ar Rabei binti Muawwiz katanya : Kami bersama Rasulullah SAW merawat pesakit, memberi minum dan menghantar jenazah yang terbunuh ke Madinah.
  • Ikhtilat untuk tujuan belajar atau mendengar nasihat. Antara suasana yang diharuskan, ikhtilat dengan tujuan mengajar agama kerana Bukhari meriwayatan bahawa Rasulullah SAW keluar pada satu Hari Raya dan sembahyang dua rakaat. Setelah selesai solat baginda berpusing mengarah wanita. Baginda menasihati mereka dan menyuruh mereka bersedekah dan ketika itu bersama baginda SAW ialah Bilal bin Rabah.
  • Ikhtilat dalarn suasana yang telah menjadi adat kebiasaan. Tersebut dalarn kitab Muwatta'. Persoalan adakah harus bagi wanita makan bersama hamba atau lelaki bukan mahramnya? Berkata Malik : Tidak ada halangan pada perbuatan tersebut, jika dalam ruang uruf bahawa wanita makan bersama lelaki tersebut. Kadang-kadang wanita makan bersama suami dan mereka yang sering makan bersama suaminya. Antara contoh yang berlaku pada zaman ini ialah percampuran sewaktu menziarahi sanak saudara atau rakan taulan. Dalam suasana yang seperti ini akan berlaku percampuran antara lelaki dan perempuan dalam satu bilik, makan pada satu meja dan sebagainya. Ini semua diharuskan selama terpelihara adab-adab.

✿✿ Batasilah Ikhtilatmu ✿✿

Jaga serta batasilah diri kita dengan mengamalkan beberapa adab ikhtilat. Antara adab ikhtilat dalam Islam ialah :
  • Tidak bersentuhan antara lelaki dan perempuan.
  • Tidak melihat perempuan atau lelaki secara mengamati dan menaikkan syahwat. 
  • Memelihara aurat dan kehormatan. Aurat lelaki adalah antara lutut dan pusat manakala aurat perempuan adalah seluruh tubuh badan kecuali muka dan dua tapak tangan. 
  • Tidak mengeluarkan kata-kata keji, lucah atau menunjukkan tingkahlaku yang mendorong kepada melakukan maksiat. 
  • Tidak berdua-duaan terutama di tempat sunyi dan gelap.
InsyaAllah diri kita akan berada dalam keadaan selamat sekiranya kita mengamalkan adab-adab ikhtilat dalam Islam. Sayangi serta cintailah diri kita.


✿✿Katakan Tidak Pada Pergaulan Bebas ✿✿

Wahai kaum muslimin dan muslimat sekalian, berhati-hatilah kamu dalam berurusan sesama berlainan jantina. Boleh jadi urusan kamu mendapat keredhaan Ilahi atau mendapat yang sebaliknya yakni kemurkaanNya. Oleh hal yang demikian, janganlah kamu meremeh-temehkan hal ikhtilat.

Katakan tidak pada pergaulan bebas sama ada yang bersederhana atau pun yang melampaui batasan syarak. Sayangilah agama kita. Sesungguhnya setiap undang-undang dan hukum-hakam yang diperintahkan ke atas diri kita itu merupakan kebaikan untuk diri kita juga. Jadi, percayailah Tuhan kita. Setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya.

Mudah-mudahan kita tergolong dalam golongan yang mendaoat mardhatillah dan syurgaNya yang abadi. Jangan sia-siakan usia kita dengan perkara yang tidak diredhai Ilahi. Ketahuilah bahawa hidup dan mati kita hanya untukNya. Jadi, marilah sama-sama kita memuhasabah diri kita ke arah kebaikan. Semoga kita semua menjadi insan soleh dan solehah yang muslih dan memuslihkan. InsyaAllah.












Sunday 19 August 2012

Erti Sebenar 'Eidul Fitri

..: bismillahirrahmaanirrahim :..


✿✿ Salam 'Eidul Fitri ✿✿

Salam 'Eidul Fitri buat pembaca setia blog Perjalanan Hati Menuju Kasih Ilahi. Moga hari raya tahun ini menjadi hari yang paling barakah dalam hidup kalian semua. Diharapkan semua berbahagia dengan keluarga dan sanak saudara. Ambillah iktibar serta kebaikan dari puasa yang kita tunaikan selama 30 hari. Jangan sia-siakan amalan kita. Kita seharusnya terus istiqamah melakukan amalan kebaikan seperti puasa sunat, qiamullail, bersedekah serta mengeluarkan zakat meskipun kini kita telah pun berada di bulan Syawal dan Ramadhan telah pun berlalu meninggalkan kita.

Dalam kita bergembira berhari raya, janganlah kita lupa saudara seIslam kita jauh nun di Rohingya, Kemboja yang masih dalam konflik kekalutan dan perpecahan. Tidak lupa juga kepada saudara kita di Palestin. Sama-samalah kita panjatkan doa kepada mereka yang dalam kesusahan serta kemiskinan. Janganlah mementingkan diri sendiri dengan bergembira di sini sedangkan masih ramai saudara seagama kita yang menderita di luar sana.


✿✿ Erti 'Eidul Fitri ✿✿


Tahukah kita semua, apakah erti 'Eidul Fitri yang sebenar ? Sudah pasti ada yang mengangguk dan tidak kurang juga ada yang menggelengkan kepala. Sempena hari kebesaran umat Islam ini, marilah sama-sama kita hayati maksud sebenar 'Eidul Fitri.

Ketahuilah bahawa nama lain bagi 'Eidul Fitri ialah Hari Raya Fitrah. Persoalannya, mengapakah ia dipanggil Hari Raya Fitrah ? Fitri sendiri itu diambil daripada perkataan Arab yang bererti fitrah dalam bahasa Melayu. Fitrah di sini boleh dimaksudkan dengan bersih dan suci. Bersih dan suci di sini pula bermaksud bersih daripada segala dosa kerana kita akan diampunkan dosa serta kembali kepada fitrah asal manusia yang tidak berdosa selepas kita berpuasa selama sebulan di bulan Ramadhan.

Hal ini insyaAllah berlaku sekiranya disiplin puasa kita jaga dan zakat fitrah kita tunaikan. Betapa cantik dan muliakan hari raya ? Dengan takbirnya selain bermaaf-maafan antara satu sama lain serta ziarah-menziarahi rakan taulan dan sanak saudara.

Untuk pengetahuan pembaca semua, mengikut mazhab As-Syafie, hendaklah disebutkan kesalahan yang dilakukan semasa bermaaf-maafan manakala mengikut mazhab Hanafi tidak perlu disebutkan kesalahan yang dilakukan, hanya cukup sekadar meminta maaf secara am sahaja.

Pada masa yang sama, terdapat dua kegembiraan yang Allah berikan kepada hambaNya yang benar-benar berpuasa. Sabda Rasulullah SAW :

Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah bersabda : "Bagi orang yang puasa itu ada dua kegembiraan, iaitu gembira ketika berbuka (atau berhari raya) dan gembira ketika menemui Tuhannya kelak. Dan, sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa itu lebih harum daripada bau kasturi."
(Hadis Riwayat Muslim)
✿✿ Teruslah Istiqamah dengan Amalan Sunatmu ✿✿

Terdapat banyak sunat yang boleh kita lakukan pada Hari Raya Aidilfitri. Antaranya ialah :
  • Mandi sunat di pagi Hari Raya. Disunatkan mandi di pagi hari raya sebagaimana mandi wajib iaitu sebelum berangkat menuju ke tempat pelaksanaan solat sunat Aidilfitri.
  • Bertakbir. Takbir pada hari Aidilfitri bermula ketika terlihatnya anak bulan dan berakhir setelah selesainya imam membaca khutbah. Disunatkan juga  untuk kita bertakbir di sepanjang perjalanan dari rumah menuju ke masjid untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri.
  • Lafaz ucapan selamat. Majoriti amalan umat islam di Malaysia akan mengucapkan antara satu sama lain pada hari lebaran dengan ucapan ‘Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin’. Namun diceritakan al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani RA yang dinukilkan daripada Jubair Nufair RA katanya :
"Apabila para sahabat Rasulullah SAW bertemu di Hari Raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada yang lain 'taqabbalullah minna waminka' (semoga Allah menerima amalan kami dan amalanmu)."
  • Meneruskan qiamullail. Jika sepanjang Ramadhan kita telah bersungguh-sungguh menghidupkan malam kita dengan pelbagai ibadah contohnya melalui solat tarawih, maka ia seharusnya diteruskan juga pada hari-hari berikutnya dengan mengerjakan solat tahajjud dan qiamullail.
  • Makan sebelum solat sunat Aidilfitri. Disunatkan kaum muslimin menjamah makanan sebelum berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri. Perbuatan ini bertujuan menutup segala andaian bahawa dibenarkan berpuasa pada Hari Raya.  Kebiasaannya, Rasullullah SAW akan memakan kurma dalam jumlah yang ganjil pada pagi Hari Raya. Namun, tidak bermakna umat islam perlu menyediakan buah kurma untuk dimakan pada pagi Hari Raya Aidilfitri. Mereka bebas memakan apa sahaja asalkan halal.
  • Memakai pakaian yang indah serta berwarna hijau. Disunatkan kaum muslimin memilih pakaian yang terbaik serta indah-indah mengikut kemampuan masing-masing untuk menuju tempat solat. Disunatkan juga kaum lelaki memakai wangi-wangian tetapi tidak disunatkan kepada kaum wanita. Kata Ibnu Hajar dalam Kitab Tanbihul Akhbar, sunat pada hari raya memakai pakaian yang berwarna hijau daripada yang berwarna putih. Hari raya yang paling hebat bagi orang Islam adalah apabila memasuki syurgaNya dan ketahuilah ahli syurga memakai pakaian yang berwarna hijau. FirmanNya :
"Mereka itu disediakan baginya syurga yang kekal, yang mengalir di bawahnya beberapa sungai. Mereka dihiaskan di dalamnya dengan gelang-gelang tangan emas dan memakai pakaian hijau dari sutera yang nipis dan sutera tebal yang bersulam."
( Surah al-Kahfi : Ayat 31 )
Oleh sebab yang demikian, fakta ada mengatakan bahawa memandang yang hijau itu adalah satu perkara yang dapat menajamkan mata serta dapat memberikan ketenangan kepada jiwa. Perkara sunat yang seterusnya ialah :

  • Berjalan kaki menuju ke tempat solat. Ia lebih afdal berbanding menaiki kenderaan. Disunatkan juga mengikut jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat sunat Hari Raya. Ada pendapat menyatakan ia dilakukan agar dapat bersalam dengan orang-orang yang melalui kedua-dua jalan itu.
  • Mengerjakan solat sunat Aidilfitri. Syiar yang paling utama dalam menyambut Aidilfitri adalah perlaksanaan solat Aidilfitri sebanyak 2 rakaat oleh seluruh umat Islam.
  • Puasa sunat 6 hari pada bulan Syawal.

Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadahan lalu diringi dengan puasa 6 hari pada bulan Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa setahun. Sabda Rasulullah SAW :

"Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan, lalu diiringi puasa enam pada bulan Syawal bererti dia puasa setahun penuh.
( Hadis Riwayat Muslim, Abu Daud, At-Tarmizi dan Ibnu Majjah )

Cara paling afdal untuk melaksanakannya adalah memulakan berpuasa sesudah Hari Raya secara berturut-turut yakni bermula pada 2 Syawal. Namun seseorang itu bebas memilih mana-mana hari sepanjang bulan Syawal sama ada secara berturut-turut atau berpisah-pisah.

Itulah antara perkara sunat yang boleh dan mesti kita lakukan pada Hari Raya Aidilfitri. Ingatlah bahawa kehadiran Aidilfitri atau Hari Raya Fitrah ini sesungguhnya menjanjikan suatu limpahan nikmat yang besar dan harus disyukuri oleh umat Islam. Maka berebut-rebutlah berbuat kebaikan dengan melakukan banyak perkara sunat.


✿✿ Dekatilah Diri Dengan Tuhanmu
Pasti Kamu Bakal Beroleh Kejayaan ✿✿

Sempena dengan hari yang penuh kerahmatan ini, marilah sama-sama kita mengucap kata syukur kepada Ilahi. Hal ini demikian kerana Hari Raya Aidilfitri merupakan kemerdekaan serta kemenangan yang besar kepada seluruh umat Islam setelah sebulan kita semua berpuasa menahan lapar dan dahaga.

Hari di mana orang-orang beriman memperoleh kembali kebebasan diri dan kembali menikmati limpahan rezeki Ilahi selepas sebulan menyerahkan jiwa raga mereka kepada Allah. Ia adalah hari kegembiraan kerana dapat melaksanakan kewajipan dan berkeyakinan memperoleh pahala yang besar di sisi Allah.

Hari Raya Aidilfitri juga merupakan suatu nikmat besar dari Ilahi yang menjadi asas kepada ciri-ciri pembinaan kemanusiaan malah ia merangkumi asas yang satu, iaitu kemurnian rohani  serta kebahagiaan  di dunia dan di akhirat.

Di samping itu, Aidilfitri juga merupakan puncak kemenangan manusia dalam petentangan antara akal dan nafsunya  kerana puasa adalah keupayaan manusia untuk menundukkan dorongan nafsu yang sentiasa cenderung kepada pelanggaran syariat Islam.

Berhari raya juga bererti kembali kepada jati diri manusia sebagai hamba Allah yakni kepada fitrah kejadian manusia. Di alam azali lagi iaitu sebelum kita wujud sebagai manusia, kita telah mengakui keEsaan Allah Taala dan berjanji untuk mentaati perintahnya. Allah menegaskan dalam firman Nya yang bermaksud :
"Ingatlah ketika Tuhanmu mengambil janji daripada anak-anak Adam sejak azali mereka dan mempersaksikannya atas diri mereka sendiri. “Tidakkah Aku Tuhanmu?” Mereka menjawab, betul, kami mempersaksikan atas itu tetapi kamu akan berkata pada hari kiamat, kami telah lalai mengenai hal ini."
(Surah al-A’raf : Ayat 172)
Semoga kita semua dapat bertemu semula dengan 1 Ramadhan pada tahun yang seterusnya. Mudah-mudahan umur kita semua dipanjangkan olehNya. Ameen.

Deduksinya, hayatilah erti sebenar 'Eidul Fitri ini. Jangan sia-siakan peluang yang hanya datang beberapa kali sahaja dalam hidup kita ini. Kembalilah kepada primordial kita yang mana pokok pangkalnya kita sememangnya memerlukan Allah sebagai Tuhan. Rasulullah sebagai ikutan dan al-Quran sebagai panduan.

Perlu ditegaskan bahawa perayaaan Aidilfitri hakiki merupakan satu kemenangan secara batiniah dan rohaniah. Justeru itu, ia harus direfleksikan di dalam peningkatan kualiti perilaku beragama, keimanan yang bertambah serta ketakwaan yang menebal. Marilah kita sama-sama renungi syair Arab ini :
"Bukanlah Hari Raya Aidilfitri bagi orang yang berpakaian dan perabot rumahnya serba baru, namun Hari Raya Aidilfitri adalah bagi orang yang beriman dan ketaatannya bertambah."






Thursday 16 August 2012

Jangan Berhenti Berjuang

..: bismillahirrahmaanirrahim :..




Salam mujahadah kepada pembaca muslimin serta muslimat sekalian. Apa khabar dengan iman dan taqwa kalian ? Sihat sejahterakah mereka atau pun sakit yang memerlukan rawatan ? Jika sakit, segeralah ubatinya dengan memperbaharui iman di dada. Jangan biarkan kesakitan itu melarat sehingga tidak lagi bisa disembuhkan. Jagalah kedua-duanya ini yakni iman serta taqwa kita. Kedua-dua ini sesungguhnya harta yang sangat berharga. Mudah-mudahkan kita semua diberkati serta dirahmati Allah Taala. InsyaAllah.

Mengapakah entri kali ini bertajuk sedemikian ? Ada apa dengan berjuang sebenarnya ? Sebelum entri ini dilanjutkan, suka diri ini menyarankan para pembaca mendengar dahulu nasyid diatas, Sunnah Orang Berjuang.


✿✿ Erti Perjuangan ✿✿

Apakah erti berjuang sebenarnya ? Berjuang dalam erti kata lain bermaksud berjihad pada jalan Allah yakni bersungguh-sungguh memperjuangkan kebenaran fisabilillah. Maksudnya berjuang dalam meninggikan kalimah Allah. Di sini baru kita faham, ajaran Allah atau ajaran Islam itu adalah dari satu kalimah iaitu:

"Asyhadu allaa ilaaha illallah wa asyhadu anna muhammadur rasulullah."

Pintu Islam ialah kalimah syahadah. Maka, siapa yang berjuang bagi meninggikan dua kalimah syahadah agar diterima orang, itulah berjuang.

Oleh hal yang demikian, bagi orang yang sudah syahadah, kita mestilah berjuang agar mereka mengekalkannya manakala bagi orang yang belum syahadah, kita berjuang agar mereka mengucapkannya yakni mengislamkan mereka. Itulah takrif berjuang yang sebenarnya. FirmanNya :

    "Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh)
                      segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan."                         
( Surah Al-Anfal : Ayat 60 )


✿✿ Indahnya Hidup Berjuang ✿✿

Sekarang, kita sudah mengetahui erti sebenar berjuang. Persoalannya, mengapakah kita tidak boleh berhenti berjuang ?

Lihatlah keadaan agama kita sekarang. Betapa sadis sekali keadaan umatnya. Umatnya yang leka lagi lalai dengan nikmat dunia yang sementara. Masing-masing ingin memenuhi kehendak nafsu. Kalimah Allah yang telah diucap  diabaikan. Segala tanggungjawab dan amanah kepada Sang Pencipta terus ditinggalkan. Beginikah cara hidup Islam yang sebenar yang telah diajar oleh baginda Rasulullah SAW ?

Sedarlah. Janganlah terus alpa dengan tipuan dunia. Yang dikejar redha Ilahi bukanlah nikmat duniawi. Ingatlah, berjuang itu satu kewajipan ke atas diri kita yang bergelar muslimin dan muslimat.

Maka, beranikanlah dirimu dengan berjuang agar kita dapat menemukan makna sejati keutuhan serta kemanisan berjuang di jannahNya kelak. Agar kita ketemu kerahmatan Ilahi. Sesungguhnya, betapa Indah hidup berjuang ini.


✿✿ Teruskan berjuang di JalanNya ✿✿

Lihatlah di kanan kiri kita, lihatlah masa lalu kita, sudahkah kita berbakti serta berkhidmat untuk agama kita yang tercinta ini ? Tepuk dada, tanya diri. Cuba renung seketika, berapa banyakkah usaha kita ke arah perjuangan ? Kata sayang Islam, tapi nak berjuang pun, sudah malas dan mengeluh. 

Cuba bayangkan, layakkah diri kita ke jannahNya sekiranya kita masih bermalasan untuk berjuang serta berperang mengalahkan nafsu kita ? Muhasabahlah diri kita. Sesungguhnya berjuang serta berperang di jalanNya adalah satu kewajipan kita. Dari Abu Hurairah R.A. katanya, Rasulullah SAW bersabda :  

"Barangsiapa yang mati dan belum pernah melakukan peperangan,juga tidak pernah tergerak hatinya untuk melakukannya itu-yakni tidak ada 
    keinginannya sama sekali untuk berjihad fisabilillah,maka ia mati        
                     menepati satu cabang dari kemunafikan."                                         
( Hadis Riwayat Muslim )

Teruskanlah berjuang tanpa rasa gerun pada musuh-musuh Islam. Pasti suatu saat kamu akan ketemukan kemanisan serta kenikmatannya. Hiduplah dalam realiti. Berhentilah mementingkan diri sendiri serta berkhayal di siang hari. Sesungguhnya Allah redha dengan hambaNya yang berjuang di jalanNya. Firman Allah dalam kitabNya yang mulia :

"Dan sesiapa yang berjuang (menegakkan Islam) maka sesungguhnya dia  
  hanyalah berjuang untuk kebaikan dirinya sendiri. Sesungguhnya Allah 
  Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatupun) daripada sekalian makhluk.
( Surah Al-Ankabut : Ayat 6 )


 

✿✿ Buatlah yang Terbaik, Sesungguhnya Allah BersamaMu ✿✿

Janganlah berputus asa. Sesungguhnya rahmat Allah itu maha luas bagi hambaNya yang bersabar. FirmanNya : 

"Jangan berputus asa dengan rahmat Allah."

Tahukah kita ? kita berjuang ini seolah-olah membawa bakul yang berisi iman, Islam dan ihsan itu lalu menjaja-jajakannya. Kita pergi membawa pesan dari Tuhan untuk menyampaikannya kepada manusia.

Iman itu pula, ia bukan seketul atau sebiji tetapi ia juga merupakan satu bekas yang di dalamnya mengandungi hal-hal yang berkaitan dengan iman yang merupakan 'paket iman'. Di situ ada keyakinan tauhid, aqidah dan sebagainya.

Bila dikatakan Islam, itulah syariat. Syariat pula tentulah banyak. Ada fardhu ain, fardhu kifayah, wajib dan sunat. Ada pendidikan, ekonomi, kebudayaan, dakwah, pentadbiran dan lain-lain lagi. Itulah bungkusan Islam.


Begitu juga ihsan. Di dalam bakul ihsan itu ada ilmu hakikat dan ilmu rasa. Yakni penghayatan kita pada Tuhan seperti rasa takut, redha serta rasa hamba. 

Jadi orang yang berjuang, keluar pagi sampailah petang. Petang baru pulang dengan membawa bakul maknawi yakni kalimah syahadah 'Laa ilaaha illallah, muhammadur rasulullah'. Dalam bakul itu bermacam-macam pula isinya yang terdiri daripada iman, Islam dan ihsan.

Hendak ditamsilkan, orang berjuang itu, ibarat orang yang menjual ikan dan sayur. Pergi dari rumah ke rumah dan berkata : "Mari beli ikan. Mari beli sayur!" Maka orang yang berjuang pun hakikatnya menjaja juga. "Mari beli iman, Islam dan ihsan!"

Oleh hal yang demikian, menjaja dan menjuallah dengan sebaiknya agar mendapat hasil yang lumayan dan terbaik. Teruslah dan teruslah kita menyelusuri, mengevaluasi langkah demi langkah untuk menyampaikan kebenaran tanpa berputus asa kerana Allah itu bersama orang yang benar. 


✿✿ Cintailah Jihad ✿✿

Itulah erti jihad atau berjuang fisabilillah. Selain itu, ia boleh dianggap berjuang menentang jalan syaitan. Mengapa perlu berjuang sampai bunuh orang ? Ledak bom sana sini. Itu syaitan yang ajar. Itu bukan mati syahid tetapi mati sakit. Ketahuilah, berjuang ialah memberi sesuatu yang baik kepada orang lain.

Cintailah jihad untuk menambahkan lagi keimanan serta ketaqwaan kita kepada Allah dan baginda Rasulullah SAW. Ledakkan paradigma jihad kita di jalanNya. Usah takut, usah gentar. Bangkitlah. Usah risau kita akan terjatuh dan terpinggir. Ingatlah bahawa Allah sentiasa bersamaa kita.

Ubahlah persepsi diri kita yang menyatakan berjuang itu hanya untuk orang yang mana negaranya dalam peperangan. Mujahadahlah dalam berjuang agar kita ketahui bahawa manisnya perjuangan itu. Agar suatu saat kita akan berbangga dengan jihad kita.


✿✿ Ikhlaskan Dirimu pada yang Satu ✿✿

Semoga saatnya nanti kita bisa kembali kepada yang Maha Satu. Berjuanglah untuk itu, berjuanglah dengan usaha yang kita termampu. Janganlah lari dari kenyataan berjuang. Pasti suatu saat, kita akan bergembira dengan hasil usaha kita. Pada saat itu, segala kesusahan dan keperitan akan dilupakan.

Hiduplah dan hidupkanlah perjuangan. Disanalah dikibarkan, disanalah keagungan akan tercipta menyerikan kehidupan yang hakiki. Jangan pernah kita salah ertikan makna perjuangan. Jangan salah mengurai perjalanan serta memilih langkah. Jejakilah kebenaran dengan menghidupkan kalimah syahadahNya yang satu.

Sungguh, hidup itu penuh misteri dan misteri itulah akan menyerikan lagi kehidupan kita di bumi Ilahi.

InsyaAllah, kita akan dapat melihat keindahan, kebesaran dan kebesaran 'Azza Wajalla. Melihat hakikat kebesaran perjuangan itu. Oleh hal demikian, usahlah lagi ragu-ragu dalam berjuang. Jangan pernah takut. Jangan pernah berhenti berjuang. Mudah-mudahan, kita tergolong dalam golongan hamba yang benar disisiNya. Ameen.




Nota Kaki : 

Sila buka dan tengok video di Youtube jika tidak mahu sebarang gangguan bunyi.

Terima kasih atas kerjasama. ^^v






Wednesday 15 August 2012

Disebalik Erti Jodoh Dan Cinta

..: bismillahirrahmanirrahim :..

  


Alhamdulillah, segala puji kepadaNya. Kalau dahulu, diri ini telah kupaskan entri mengenai cinta kepada Sang Pencipta iaitu entri Tentang Cinta. Sekarang insyaAllah, entri bertajuk Disebalik Erti Jodoh Dan Cinta akan dihurai dan dijelaskan secara terperinci.

Sebelum diri ini pergi lebih lanjut mengenai tajuk utama, diharap para pembaca sudah pun mendengar nasyid Cinta Pertama yang didendangkan oleh kumpulan nasyid Far East. Cuba kita semua hayati betul-betul lirik nasyid ini. Nasyid ini mengajak kita mencintai cinta pertama dan cinta utama kita. Siapakah cinta-cinta ini ? Satu persoalan yang agak menarik.

Buat pengetahuan para pembaca, cinta utama sudah semestinya cinta Ilahi yakni cinta kita kepada yang Maha Menyayangi. Bagaimana pula dengan cinta pertama yang dimaksudkan dalam nasyid ini. Cinta pertama di sini bermaksud jodoh kita yang mana disebut sebagai cinta pertama dan terakhir kita. Betapa dalam kan maksud cinta yang ingin disampaikan oleh nasyid ini ?

Ketahuilah bahawa jodoh, rezeki, ajal serta ketentuan kita telah pun ditetapkan oleh Allah sejak ditiupkan roh ke dalam jasad kita. Semuanya telah tertulis lengkap di luh mahfuz. Oleh hal yang demikian, dapat tidat dapat, kita tidak boleh mengubahnya.

Apakah yang diertikan dengan jodoh dan cinta ? Kalau sebelum ini, diri ini telah pun perjelaskan mengenai cinta dalam entri Tentang Cinta. Jadi sekarang tidak perlulah erti cinta didefinisikan lagi. Cuma apakah maksud jodoh ?


✿✿ Jodoh Itu Rahsia Allah ✿✿

Ya, jodoh itu rahsia Allah. Hanya Allah yang mengetahui tentangnya. Sebenarnya terlalu sulit untuk mendeskripsikan serta menjelaskan tentang jodoh. Jodoh itu boleh diibaratkan seperti perasaan sayang yang mana kita sangt memerlukannya untuk meneruskan hidup tapi kita tidak tahu dan tidak sedar bilakah ia hadir.

Jodoh juga seolah-olah seseorang yang penting dalam hidup kita yang dilahirkan sebagai sebahagian daripada diri kita yang mana dipisahkan oleh jarak, waktu, tempat serta keadaannya tidak kita ketahui hingga akhirnya dipertemukan kembali dengannya pada suatu saat. Jadi, tidak mungkinlah sebahagian daripada diri kita itu Allah tentukann tidak tepat dan tidak sesuai kan ?

Maka bersabarlah menunggu cinta dan jodoh dariNya kerana Dia telah menetapkan untuk kita semua pasangan yang ideal. FirmanNya :

               “… Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan…”         
(Surah Adz-Dzariyat : ayat 49)

FirmanNya lagi :

"Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji dan laki-laki yang keji adalah untuk wanita-wanita yang keji, dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik. Mereka (yang dituduh) itu bersih dari apa yang dituduhkan oleh mereka (yang menuduh itu). Bagi mereka ampunan dan rezeki yang mulia (syurga)."
(Surah An-Nur : Ayat 26)


✿✿ Jagalah Hubungan denganNya Jika Inginkan Jodoh yang Baik ✿✿

Ingatlah, jodoh di tangan Tuhan dan manusia hanya berikhtiar mencari dan memilihnya sesuai dengan ketentuan yang ditetapkan oleh Allah. Jika baik hubungan kita denganNya, maka baiklah juga jodoh yang ditetapkan untuk kita.

Kita haruslah yakin bahawa setiap orang sudah ditentukan jodohnya. Maka janganlah takut dan bimbang kita akan kehabisan 'stock'. Tidak perlulah kita terburu-buru ingin menikah hanya kerana mendengar omongan kosong orang lain yang sering merendahkan diri kita kerana masih membujang. Persiapkanlah diri kita serta berusahalah setiap masa untuk menjadi yang terbaik. Yang paling penting ialah luruskan serta perbetulkanlah niat kita hanya keranaNya. Istikharahlah kepada si Dia. Berdoalah padaNya agar diberikan jodoh yang terbaik dan paling sesuai untuk kita.

Ingatlah bahawa menikah itu bukanlah tujuan utama, tetapi gerbang awal kehidupan baru kita bersama pasangan untuk meraih hidup bahagia di dunia dan di akhirat. Yang terpenting ialah redhaNya dan yang dikejar juga ialah mardhatillah. Sabda Rasulullah SAW :

"Apabila seseorang melaksanakan pernikahan, bererti dia telah menyempurnakan separuh agamanya. Maka hendaklah dia menjaga separuh yang lain dengan bertaqwa kepada Allah."
(Hadis Riwayat Baihaqi dari Anas bin Malik)


✿✿ Jagalah Segala Batas Syariat ✿✿

Bagaimana pula keadaan jodoh yang sudah jadi ? Maksudnya, bagaimana kasih sayang yang perlu disuburkan apabila berumah tangga nanti ?

Ingatlah, apabila berkasih sayang kelak, jagalah segala batasan syariat yang ditetapkan olehNya. Sememangnya kasih sayang merupakan antara fitrah terpenting manusia. Hal ini semestinya tidak dapat lagi dinafikan. Namun fitrah ini haruslah dibatasi dengan syariat kerana fitrah sahaja tidak memadai dan tidak mencakupi.

Fitrah ini mesti disuburkan dengan iman, disalurkan dengan Islam serta digemburkan dengan ihsan. Kasih sayang dalam berpasangan mesti didasarkan pada kasihnya kepada Allah. Ia perlu disalurkan mengikut peraturan syariat. Oleh hal yang demikian, barulah kasih sayang itu membuahkan sifat mahmudah seperti sabar, redha, syukur, pemaaf dan lain-lain. 

Persoalannya, apa pula bezanya kasih sayang berpasangan berasaskan fitrah dengan berasaskan iman. Semestinya, kasih sayang berasakan iman lebih tulus, kekal serta punya kekuatan dan ketenangan. Maksud di sini ialah pasangan yang mengasihi pasangannya berasaskan iman akan mengasihi pasangannya tanpa mengharapkan balasan dari pasangannya. Kasih sayang ini lebih kekal di dunia mahu pun di akhirat.

Hal ini demikian kerana dia merasakan Allah yang Maha Segalanya menjadi penjaga, pembela dan pengukuh hubungan kasih sayang antara mereka.


✿✿ Berkasih Sayanglah kerana Allah ✿✿

Deduksinya, cinta dan jodoh yang baik akan datang kepada kita setelah diri kita menjadi yang terbaik. Dengan itu, berusahalah mensoleh serta mensolehahkan diri kita agar mendapat jodoh yang juga soleh dan solehah.

Ingatlah bahawa cinta yang meminggirkan cinta Ilahi ialah cinta yang mundur, rendah mutu kualitinya serta tidak tahan diuji. Binalah cinta 'high class' dan bukanlah cinta 'low class' dengan jodoh terbaik kita. Kata pujangga Melayu :

"Cinta kelas kedua tidak akan dapat menangani perubahan fizikal tetapi cinta kelas pertama boleh serta dapat meningkat
bersama perubahan fizikal."





Nota Kaki : 

Sila buka dan tengok video di Youtube jika tidak mahu sebarang gangguan bunyi.

Terima kasih atas kerjasama. ^^v