tasbih Pictures, Images and Photos

Sunday, 19 August 2012

Erti Sebenar 'Eidul Fitri

..: bismillahirrahmaanirrahim :..


✿✿ Salam 'Eidul Fitri ✿✿

Salam 'Eidul Fitri buat pembaca setia blog Perjalanan Hati Menuju Kasih Ilahi. Moga hari raya tahun ini menjadi hari yang paling barakah dalam hidup kalian semua. Diharapkan semua berbahagia dengan keluarga dan sanak saudara. Ambillah iktibar serta kebaikan dari puasa yang kita tunaikan selama 30 hari. Jangan sia-siakan amalan kita. Kita seharusnya terus istiqamah melakukan amalan kebaikan seperti puasa sunat, qiamullail, bersedekah serta mengeluarkan zakat meskipun kini kita telah pun berada di bulan Syawal dan Ramadhan telah pun berlalu meninggalkan kita.

Dalam kita bergembira berhari raya, janganlah kita lupa saudara seIslam kita jauh nun di Rohingya, Kemboja yang masih dalam konflik kekalutan dan perpecahan. Tidak lupa juga kepada saudara kita di Palestin. Sama-samalah kita panjatkan doa kepada mereka yang dalam kesusahan serta kemiskinan. Janganlah mementingkan diri sendiri dengan bergembira di sini sedangkan masih ramai saudara seagama kita yang menderita di luar sana.


✿✿ Erti 'Eidul Fitri ✿✿


Tahukah kita semua, apakah erti 'Eidul Fitri yang sebenar ? Sudah pasti ada yang mengangguk dan tidak kurang juga ada yang menggelengkan kepala. Sempena hari kebesaran umat Islam ini, marilah sama-sama kita hayati maksud sebenar 'Eidul Fitri.

Ketahuilah bahawa nama lain bagi 'Eidul Fitri ialah Hari Raya Fitrah. Persoalannya, mengapakah ia dipanggil Hari Raya Fitrah ? Fitri sendiri itu diambil daripada perkataan Arab yang bererti fitrah dalam bahasa Melayu. Fitrah di sini boleh dimaksudkan dengan bersih dan suci. Bersih dan suci di sini pula bermaksud bersih daripada segala dosa kerana kita akan diampunkan dosa serta kembali kepada fitrah asal manusia yang tidak berdosa selepas kita berpuasa selama sebulan di bulan Ramadhan.

Hal ini insyaAllah berlaku sekiranya disiplin puasa kita jaga dan zakat fitrah kita tunaikan. Betapa cantik dan muliakan hari raya ? Dengan takbirnya selain bermaaf-maafan antara satu sama lain serta ziarah-menziarahi rakan taulan dan sanak saudara.

Untuk pengetahuan pembaca semua, mengikut mazhab As-Syafie, hendaklah disebutkan kesalahan yang dilakukan semasa bermaaf-maafan manakala mengikut mazhab Hanafi tidak perlu disebutkan kesalahan yang dilakukan, hanya cukup sekadar meminta maaf secara am sahaja.

Pada masa yang sama, terdapat dua kegembiraan yang Allah berikan kepada hambaNya yang benar-benar berpuasa. Sabda Rasulullah SAW :

Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah bersabda : "Bagi orang yang puasa itu ada dua kegembiraan, iaitu gembira ketika berbuka (atau berhari raya) dan gembira ketika menemui Tuhannya kelak. Dan, sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa itu lebih harum daripada bau kasturi."
(Hadis Riwayat Muslim)
✿✿ Teruslah Istiqamah dengan Amalan Sunatmu ✿✿

Terdapat banyak sunat yang boleh kita lakukan pada Hari Raya Aidilfitri. Antaranya ialah :
  • Mandi sunat di pagi Hari Raya. Disunatkan mandi di pagi hari raya sebagaimana mandi wajib iaitu sebelum berangkat menuju ke tempat pelaksanaan solat sunat Aidilfitri.
  • Bertakbir. Takbir pada hari Aidilfitri bermula ketika terlihatnya anak bulan dan berakhir setelah selesainya imam membaca khutbah. Disunatkan juga  untuk kita bertakbir di sepanjang perjalanan dari rumah menuju ke masjid untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri.
  • Lafaz ucapan selamat. Majoriti amalan umat islam di Malaysia akan mengucapkan antara satu sama lain pada hari lebaran dengan ucapan ‘Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin’. Namun diceritakan al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani RA yang dinukilkan daripada Jubair Nufair RA katanya :
"Apabila para sahabat Rasulullah SAW bertemu di Hari Raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada yang lain 'taqabbalullah minna waminka' (semoga Allah menerima amalan kami dan amalanmu)."
  • Meneruskan qiamullail. Jika sepanjang Ramadhan kita telah bersungguh-sungguh menghidupkan malam kita dengan pelbagai ibadah contohnya melalui solat tarawih, maka ia seharusnya diteruskan juga pada hari-hari berikutnya dengan mengerjakan solat tahajjud dan qiamullail.
  • Makan sebelum solat sunat Aidilfitri. Disunatkan kaum muslimin menjamah makanan sebelum berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri. Perbuatan ini bertujuan menutup segala andaian bahawa dibenarkan berpuasa pada Hari Raya.  Kebiasaannya, Rasullullah SAW akan memakan kurma dalam jumlah yang ganjil pada pagi Hari Raya. Namun, tidak bermakna umat islam perlu menyediakan buah kurma untuk dimakan pada pagi Hari Raya Aidilfitri. Mereka bebas memakan apa sahaja asalkan halal.
  • Memakai pakaian yang indah serta berwarna hijau. Disunatkan kaum muslimin memilih pakaian yang terbaik serta indah-indah mengikut kemampuan masing-masing untuk menuju tempat solat. Disunatkan juga kaum lelaki memakai wangi-wangian tetapi tidak disunatkan kepada kaum wanita. Kata Ibnu Hajar dalam Kitab Tanbihul Akhbar, sunat pada hari raya memakai pakaian yang berwarna hijau daripada yang berwarna putih. Hari raya yang paling hebat bagi orang Islam adalah apabila memasuki syurgaNya dan ketahuilah ahli syurga memakai pakaian yang berwarna hijau. FirmanNya :
"Mereka itu disediakan baginya syurga yang kekal, yang mengalir di bawahnya beberapa sungai. Mereka dihiaskan di dalamnya dengan gelang-gelang tangan emas dan memakai pakaian hijau dari sutera yang nipis dan sutera tebal yang bersulam."
( Surah al-Kahfi : Ayat 31 )
Oleh sebab yang demikian, fakta ada mengatakan bahawa memandang yang hijau itu adalah satu perkara yang dapat menajamkan mata serta dapat memberikan ketenangan kepada jiwa. Perkara sunat yang seterusnya ialah :

  • Berjalan kaki menuju ke tempat solat. Ia lebih afdal berbanding menaiki kenderaan. Disunatkan juga mengikut jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat sunat Hari Raya. Ada pendapat menyatakan ia dilakukan agar dapat bersalam dengan orang-orang yang melalui kedua-dua jalan itu.
  • Mengerjakan solat sunat Aidilfitri. Syiar yang paling utama dalam menyambut Aidilfitri adalah perlaksanaan solat Aidilfitri sebanyak 2 rakaat oleh seluruh umat Islam.
  • Puasa sunat 6 hari pada bulan Syawal.

Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadahan lalu diringi dengan puasa 6 hari pada bulan Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa setahun. Sabda Rasulullah SAW :

"Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan, lalu diiringi puasa enam pada bulan Syawal bererti dia puasa setahun penuh.
( Hadis Riwayat Muslim, Abu Daud, At-Tarmizi dan Ibnu Majjah )

Cara paling afdal untuk melaksanakannya adalah memulakan berpuasa sesudah Hari Raya secara berturut-turut yakni bermula pada 2 Syawal. Namun seseorang itu bebas memilih mana-mana hari sepanjang bulan Syawal sama ada secara berturut-turut atau berpisah-pisah.

Itulah antara perkara sunat yang boleh dan mesti kita lakukan pada Hari Raya Aidilfitri. Ingatlah bahawa kehadiran Aidilfitri atau Hari Raya Fitrah ini sesungguhnya menjanjikan suatu limpahan nikmat yang besar dan harus disyukuri oleh umat Islam. Maka berebut-rebutlah berbuat kebaikan dengan melakukan banyak perkara sunat.


✿✿ Dekatilah Diri Dengan Tuhanmu
Pasti Kamu Bakal Beroleh Kejayaan ✿✿

Sempena dengan hari yang penuh kerahmatan ini, marilah sama-sama kita mengucap kata syukur kepada Ilahi. Hal ini demikian kerana Hari Raya Aidilfitri merupakan kemerdekaan serta kemenangan yang besar kepada seluruh umat Islam setelah sebulan kita semua berpuasa menahan lapar dan dahaga.

Hari di mana orang-orang beriman memperoleh kembali kebebasan diri dan kembali menikmati limpahan rezeki Ilahi selepas sebulan menyerahkan jiwa raga mereka kepada Allah. Ia adalah hari kegembiraan kerana dapat melaksanakan kewajipan dan berkeyakinan memperoleh pahala yang besar di sisi Allah.

Hari Raya Aidilfitri juga merupakan suatu nikmat besar dari Ilahi yang menjadi asas kepada ciri-ciri pembinaan kemanusiaan malah ia merangkumi asas yang satu, iaitu kemurnian rohani  serta kebahagiaan  di dunia dan di akhirat.

Di samping itu, Aidilfitri juga merupakan puncak kemenangan manusia dalam petentangan antara akal dan nafsunya  kerana puasa adalah keupayaan manusia untuk menundukkan dorongan nafsu yang sentiasa cenderung kepada pelanggaran syariat Islam.

Berhari raya juga bererti kembali kepada jati diri manusia sebagai hamba Allah yakni kepada fitrah kejadian manusia. Di alam azali lagi iaitu sebelum kita wujud sebagai manusia, kita telah mengakui keEsaan Allah Taala dan berjanji untuk mentaati perintahnya. Allah menegaskan dalam firman Nya yang bermaksud :
"Ingatlah ketika Tuhanmu mengambil janji daripada anak-anak Adam sejak azali mereka dan mempersaksikannya atas diri mereka sendiri. “Tidakkah Aku Tuhanmu?” Mereka menjawab, betul, kami mempersaksikan atas itu tetapi kamu akan berkata pada hari kiamat, kami telah lalai mengenai hal ini."
(Surah al-A’raf : Ayat 172)
Semoga kita semua dapat bertemu semula dengan 1 Ramadhan pada tahun yang seterusnya. Mudah-mudahan umur kita semua dipanjangkan olehNya. Ameen.

Deduksinya, hayatilah erti sebenar 'Eidul Fitri ini. Jangan sia-siakan peluang yang hanya datang beberapa kali sahaja dalam hidup kita ini. Kembalilah kepada primordial kita yang mana pokok pangkalnya kita sememangnya memerlukan Allah sebagai Tuhan. Rasulullah sebagai ikutan dan al-Quran sebagai panduan.

Perlu ditegaskan bahawa perayaaan Aidilfitri hakiki merupakan satu kemenangan secara batiniah dan rohaniah. Justeru itu, ia harus direfleksikan di dalam peningkatan kualiti perilaku beragama, keimanan yang bertambah serta ketakwaan yang menebal. Marilah kita sama-sama renungi syair Arab ini :
"Bukanlah Hari Raya Aidilfitri bagi orang yang berpakaian dan perabot rumahnya serba baru, namun Hari Raya Aidilfitri adalah bagi orang yang beriman dan ketaatannya bertambah."






6 comments:

  1. salamullahi'alaik...mOga menjadi peringatan kita semua bersama...sesungguhnya hidup harus diteruskan, mOga istiqamah dalam dakapan hasil tarbiyah Ramadhan..miss Ramadhan sooo much (>_<)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salamun 'alaik..
      syukran ya Ukhtie Habibatie...
      InsyaAllah kita sama2 istiqamah....
      (:

      Delete
  2. salam aidilfitri minal wal faizin..sm0ga kita dipanjangkn umur untuk ketemu ramadhan yg akn dtg...amin..:)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam 'Eid Mubaarak ya Ukhtie. Ameen.. :D

      Delete
  3. menarik ulasan tentang hari raya aidilfitri... ^_^

    Suasana y brlaku skarang, melawat ke rumah org lain bkn utk merapatkan ukhuwwah sesama saudara seIslam ttapi utk mengutip duit raya..
    Objektif hari raya adlah utk bramah mesra & brmaafan, duit raya tu adlah dpanggil sedekah.kalu x bg duit raye, msti ada y mngumpat..
    Harap suasana d malysia y trlalu mghrapkan duit raya dpat diubah..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terbaik lah.. Yang diharap redha Ilahi, bkn duet raya..
      :)

      Delete