tasbih Pictures, Images and Photos

Tuesday, 31 July 2012

Tentang Cinta

..: bismillahirrahmaanirrahim :..



✿✿ Tentang Cinta Kau dan Aku ✿✿

Berbicara tentang cinta, cinta dengan manusiakah atau cinta dengan Si Pencipta ? Mesti terdetik di hati pembaca semua kan, adakah kali ini penulis ingin berbicara tentang cinta yang lazimnya sudah pernah didengar dan dibaca ? Ya, benar. Entri kali ini mengenai cinta tapi bukanlah cinta biasa yang kita sudah lali mendengar dan membacanya. Ini adalah tentang cinta insani dengan Penciptanya. Tentang bagaimana pentingnya rasa cinta dalam diri manusia untuk menjadi insan yang benar-benar mukmin dan muttaqin. 

✿✿ Definisi Cinta ✿✿


Cinta. Apakah itu cinta ? Cinta tidak dapat didefinisikan dengan betul lagi tepat kerana cinta merupakan rasa dan perasaan yang tersimpan kemas dan jauh di lubuk hati kita. Kita sendiri gagal untuk mendefinasikannya kerana apabila rasa dan perasaan cinta itu timbul, barulah kita akan menyedari serta menghargainya. 

Sudahkah kita muhasabah cinta kita ? Muhasabah cinta kita dengan Dia yang Maha Segala-galanya ? 

Subhaanallah. Sesungguhnya sayang dan cinta Si Dia kepada hambanya berkali ganda lebih hebat daripada cinta kita kepadaNya. Manakan tidak kita dapat mengecap semua nikmat di muka bumi ini. 

Allahuakbar. Tidak malukah kita denganNya yang begitu mengasihi kita namun kita masih tetap mengingkari perintah wajib dan masih bermalas-malasan mengerjakan perintah sunatNya. Muhasabahlah cinta kita dengan Yang Maha Menyayangi bukan sibuk dengan cinta manusia yang fana semata-mata dan mempunyai rasa sayang yang sekejap cuma. 

Alhamdulillah. Bersyukurlah kita dengan rasa dan perasaan fitrah ini kerana tanpanya kita tidak mungkin akan merasai bahagia dan nikmat hidup itu. Maka, jadilah kita ibarat sepohon pokok yang rimbun malah cantik daunnya tetapi malangnya tidak berbuah lebat. Begitulah kita sekiranya tidak mempunyai rasa dan perasaan cinta. Kita merasakan kita sudah mengecap bahagia tetapi sebenarnya bahagia belum lagi bersama dan menaungi hidup kita. 

Jadi, ucaplah kata kebesaran, takbir serta syukur padaNya.
Subhaanallah. Allahuakbar. Alhamdulillah. 

✿✿ Satu Rasa Dua Hati ✿✿


Rasa cinta tidak tumbuh mekar jika tidak dicintai kembali. Bagaimana kita boleh tahu sudahkah diri kita ini disayangi dan dicintai Sang Pencipta ? Mudah sahaja jawapannya. Hati yang sentiasa mengingati Azza Wajalla akan berasa tenangdan tenteram kerana Allah berfirman dalam kitabNya yang mulia : 

"Hai orang-orang yang beriman, berzikirlah dengan menyebut nama Allah, zikir yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kepadaNya di waktu pagi dan petang."
(Al-Ahzab 41-42) 


"Iaitu orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenteram."

(Surah ar-Ra'd, ayat 28) 

Ironinya, semakin banyak kita mengingati Allah, fikiran kita akan terbuka, hati menjadi tenteram, jiwa bahagia malah nurani dan rohani menjadi damai dan sentosa. Begitu hebatkan Allah menjadikan kita sedemikian rupa apabila kita mengingati, menyayangi dan mencintaiNya ? 

Hal ini demikian kerana mengingati Allah terkandung nilai-nilai ketawakkalan yang tinggi kepadaNya, keyakinan penuh, sifat kebergantungan hanya padaNya, pengharapan, kepasrahan serta sifat berbaik sangka yang jitu hanya pada Allah yang Maha Esa. 

Dia akan sentiasa dekat dengan hambaNya yang sentiasa berdoa, meminta dan merintih hanya padaNya. Maka, rendahkan dan tunduklah diri di hadapanNya tanpa rasa segan silu sekiranya kita benar-benar ingin mencari mardhatillah dan ketenangan diri. Sebut dan serulah namaNya yang indah dan penuh barakah secara berulang-ulang dengan lidah kita sebagai doa, permohonan, pujian, ketauhidan serta permintaan taubat kita kepadaNya. 

InsyaAllah. Dengan demikian, nescaya kita disayangi dan dicintaiNya kembali. Itulah yang sangat kita harapkan di dalam hidup kita. Ya Allah, pandanglah aku dengan kasih sayangMu yang melimpah. Apabila aku dicintaiMu, maka jadikanlah aku dari kalangan orang yang beriman dan bertaqwa kerana itulah pengharapanku agar aku layak ke jannahMu.
Ameen Ya Rabbal Aalamin. 


Tuesday, 17 July 2012

Nikmat KaruniaNya

..: bismillahirrahmaanirrahim :..


✿✿Bersyukurlah dengan Segala NikmatNya ✿✿


Salam mujahadah dalam menjaga iman dan islam di dada buat pembaca blog yang kerdil ini. Diharapkan iman kita sentiasa digilap dengan amal soleh agar islam kita sentiasa berkilat. 

Sentiasalah kita beramal soleh selagi kita masih dapat bernafas menggunakan oksigen percuma tanpa perlu dibayar ini. Sudah bersyukurkah kita dengan segala nikmat karunia Ilahi ini ? Tepuk dada,tanya iman dan taqwa kita. 

Berbicara tentang taqwa. Adakah taqwa juga merupakan salah satu nikmat ? Ya, taqwa merupakan nikmat serta hidayah Allah kepada hambaNya yang terpilih di bumiNya ini. Apakah maksud taqwa ? Taqwa ialah menjaga dan memelihara diri dari siksa dan murka Allah dengan jalan melaksanakan perintah-perintahNya, taat kepadaNya dan menjauhi larangan-laranganNya serta menjauhi perbuatan maksiat. 

Baru ku sedar, banyak rupanya tanggungjawab kita untuk menjadi orang yang bertaqwa. Bukan sekadar mengetahui tentang dosa dan pahala sahaja. Bukan juga sekadar berbuat yang makruf dan menjauhi yang mungkar malahan kita perlulah memelihara diri dari jatuh ke kancah penghinaan pada pandangan Ilahi serta taat dan patuh kepadaNya dengan taat yang sebenar-benarnya. Itulah baru taqwa yang sebenar-benarnya. 

✿✿ Qanaahlah Kamu ✿✿


Sedarlah kita semua, bukan senang untuk menggapai syurgawi yang nun indah dan bahagia di sana. Banyak yang mesti dilakukan agar diri dipandang mulia olehNya. Banyak lagi sebenarnya. Sedarlah. 

Sudah bersyukurkah kita dengan segala nikmat karuniaNya ini ? Jikalau belum, maka muhasabahlah diri dengan segera. Begitu banyak sudah nikmat yang kita kecapi selama jantung berdenyut di bumi yang fana ini. Selama kita dapat menghirup udara segar nan percuma ini. Sentiasalah kamu bersifat dengan sifat qanaah.

Hitunglah diri sendiri. Hisablah diri sendiri sebelum diri dihisab Ilahi. Berapa kalikah kita mengucapkan kata syukur Alhamdulillah dalam waktu sehari ? Dalam masa 86400 saat yakni sehari semalam ? Teruknya diri. Alpanya kita kepada Pencipta. Hanya boleh dihitung jari sahaja kata syukur yang kita ucapkan. Ya Allah. Berdosanya aku kerana terlalu alpa kepadaMu. 

Berubahlah. Carilah penyelesaian diri agar diri tidak menyesal di kala nafas kehabisan. Di saat malaikat Izrail datang memanggil dan mencabut nyawa dari sekujur jasad. Carilah sebelum terlambat. Sebelum diri dihisab dan dipanggil datang mengadap Ilahi di Padang Mahsyar nanti. Mudah-mudahan, kita semua bakal menerima segulung ijazah amalan dengan tangan kanan di akhirat kelak yakni tergolong dalam golongan Ashaabul Yameen dan bukanlah golongan Ashaabusy Syimaal. InsyaALLAH. 

Kisah Hatiku

..: bismillahirrahmaanirrahim :..




Asalnya, Kisah Hatiku merupakan nama header yang menjadi pilihan diri kerana tulisannya yang ringkas dan unik. Oleh sebab, sudah ada nama bagi header yang lebih menarik yakni Perjalanan Hati Menuju Kasih Ilahi, maka header inilah tertera di atas sana. Begitu unikkan perancangan Allah. 
Benarlah seperti yang dinyatakanNya di dalam al-Quran dengan firmanNya : 

"Mereka merancang, Allah juga merancang, Sesungguhnya Allah sebaik-baik perancang.

Ya, memang benar.. Oleh sebab Allah merupakan sebaik-baik perancang, maka terdetiklah hatiku untuk menulis blog buat pertama kalinya. Dengan header blog Perjalanan Hati Menuju Kasih Ilahi ini. Memang sangat bertepatan dengan isi blog ini nanti yang berkisarkan tentang hati dan perjalanan hatiku. 



Ingin ku nyatakan bahawa tujuanku menulis blog bukanlah semata-mata ingin mendapatkan title dalam dunia penulisan blog ini mahupun ingin mengejar populariti. Aku hanya ingin meluahkan rasa, menyuakan pendapat serta berkongsi pengalaman dalam segala hal. Aku juga ingin mengasah gaya penulisanku ke arah yang lebih baik serta kreatifkan diri ini. 

Aku tidak mahu menjadi orang yang bakhil di dunia yang mana kedekut untuk berkongsi ilmu dan menyuarakan buah fikirannya. Aku ingin menjadi insan terpilih Ilahi yang meraih syurgawi kelak. Biarlah segala coretan serta tulisan disini dapat menjadi salah satu daripala amal solehku yang bakal menjadi hartaku di akhirat kelak. InsyaALLAH.  



          




Monday, 16 July 2012

Sang Pendamba Kasih Ilahi

Aku ialah Sang Pendamba Kasih Ilahi yang sentiasa ingin mencari kebenaran hakiki serta kalam bicara sejati untuk menggapai Mardhatillah Ilahi. Di sinilah bakal ku coretkan segala perjalanan hatiku dan perjalanan hati menuju Kasih Ilahi untuk mendapatkan Kasih Ilahi yang hakiki dan abadi.